19 September 2009

Senarai Jawatankuasa

Senarai Ahli Jawatankuasa

Penaung - Pengarah INSTEP

Tuan Haji M Zazali Bin Salim

Penasihat 1 - En. Samad bin Yaacub. (INSTEP)

Penasihat 2 En. Sabri M Dani. (INSTEP)

Presiden - En Alizan Bin Ismail (PGB – United Kingdom)

Timbalan Presiden - En Zamri bin Mohamad (PPTSB)

Setiausaha - En Zainaldin bin Ismail (PCSB)

Naib Setiausaha - En Salman bin M Zaki (VCMSB)

Bendahari - En Adi Azihar bin Harun (PPTSB)

Naib Bendahari - Pn Norita binti Abdul Ghani (INSTEP)

AJK - Pn Majidah Bt M Dahlan @ Shafei (PWPT)

AJK - En Hamdan Bin Omar (QATAR)

AJK - Pn Zuriana Bt Zaini (PPTSB)

AJK - Pn Norfadilah Binti Mohamad (United Kingdom)

Pemeriksa Kira Kira 1 - Pn Marlida bt Ali (PPTSB)

Pemeriksa Kira Kira 2 - Pn Nor Hayati Bt Muda (VCMSB)

Wakil Kawasan

AMSB - YM. Tg M Syah Rizan Tg Salim

PASB -

PGB - GPP A - En Mohd Azmi bin M Noor

PGB - GPP B -

VCMSB - En Nazli Bin Mat Isa

Optimal - En Noordin Bin Abu Bakar

Petlin -

EPEMSB - En Johan Bin Iskandar

MTBE - En. Rosmadi bin Jusoh

PPMSB -

PCSB - Cik Norliza Bt Othman.

PFKSB -

BPC -

Luar Negara (Timur tengah) - En. Zawawi Manan (QatarGas)

Luar Negara (Timur tengah 2)- En. Hamdan bin Omar.(QatarGas)

Latar Belakang Penubuhan

LATAR BELAKANG PERSATUAN.

Penubuhan.

Persatuan ALUMNI INSTEP ditubuhkan pada 22 Mac dengan pembentukan jawatankuasa Penaja. Jawatankuasa Penaja telah merangkap Perlembagaan Persatuan (Lampiran 1)

Pada 3 Mac 2004, Persatuan ALUMNI INSTEP telah berjaya didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia Cawangan Terengganu dengan nombor pendaftaran 456.

Majlis rasmi penyerahan Sijil Persatuan (Lampiran 2) telah dijalankan pada 4 Disember 2004. Persatuan telah diwakili oleh Presiden Persatuan yang pertama iaitu En Azmi Abdul Rahman dan Setiausaha, En Zainaldin Ismail.

Mesyuarat Agung yang pertama telah dijalankan pada dengan perlantikan Jawatankuasa Penaja sebagai Jawatankusa tetap. Mesyuarat Agung yang pertama ini telah dijalankan di Dewan Seri Delima, Bangunan Pertadbiran PETRONAS Wilayah Timur, Kerteh Terengganu.

Mesyuarat yang pertama ini telah dirasmikan oleh Yang Berusaha En Mohamad Akhir bin Abdul Rashid, Pengarah INSTEP pada ketika itu merangkap Penaung Persatuan.


Matlamat Penubuhan

Antara matlamat penubuhan Persatuan ALUMNI INSTEP adalah :

  • Memupuk perasaan persaudaraan dan muhibbah sesama bekas pelajar INSTEP/ILPP
  • Merapatkan lagi perhubungan antara bekas pelajar dengan pihak INSTEP dan dengan para pensyarah.
  • Mengadakan kegiatan kegiatan masyarakat, ekonomi, kebudayaan, pelajaran dan rekreasi.


Keahlian.

Keahlian Persatuan ALUMNI INSTEP adalah dibuka kepada bekas pelajar Institut Teknologi Petroleum PETRONAS, bekas pelajar Institut Latihan Perindustrian Petroleum dan juga bekas pelajar Sekolah Latihan Teknik PETRONAS.

Jumlah lepasan dari INSTEP, ILPP dan juga Sekolah Latihan Teknik PETRONAS telah menjangkau melebihi 7000 orang. Namun begitu, jumlah ahli berdaftar setakat ini adalah cuma 200 orang.

17 September 2009

KETERANGAN LOGO

LOGO PERSATUAN ALUMNI INSTEP
Rekabentuk dasar logo berbentuk tiga bar yang mempunyai huruf `A’. Kesemua bar bar tersebut disilangi dengan garisan berbentuk lambang tiupan angin. Bar bar tersebut berwarna biru muda dan biru tua. Dibawah logo tersebut, terdapat tulisan `alumni – Institut Teknologi Petroleum Petronas’.

KETERANGAN LOGO:
Tiga Bar berwarna biru muda dan biru tua Tiga Bar -Membawa erti bahawa persatuan ini merangkumi ahli dari pelbagai bidang dari pelbagai syarikat. Warna biru muda dan biru tua – melambangkan bahawa ahli ahli adalah terdiri daripada pelbagai golongan peringkat usia. Ia juga melambangkan pergabungan ahli dari pelbagai pengambilan. Lambang Tiupan angin menyilangi bar berwarna hijau - Melambangkan bahawa persatuan ini yang fleksibel dalam berkerjasama dengan pihak pengurusan INSTEP, memenuhi keperluan ahli ahli dan juga dalam pertadbiran persatuan. - Ia juga melambangkan pelatih-pelatih INSTEP dari peringkat institusi yang penuh ilmu dan pembelajaran ke peringkat pekerjaan yang penuh tanggungjawab dan cabaran..

under construction

PERLEMBAGAAN ALUMNI INSTEP

PERLEMBAGAAN PERSATUAN ALUMNI INSTITUT TEKNOLOGI PETROLEUM PETRONAS (INSTEP) BATU RAKIT, KUALA TERENGGANU, MALAYSIA

Fasal 1

NAMA

1) Persatuan ini dikenali dengan nama Persatuan Alumni Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) Batu Rakit Kuala Terengganu, Malaysia. Selepas ini disebut ‘Persatuan’.

2) Singkatan nama Persatuan ialah ‘ALUMNI INSTEP’.

Fasal 2

TEMPAT URUSAN

1) Alamat dan tempat urusan Persatuan ialah Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) Batu Rakit 21020 Kuala Terengganu atau ditempat lain atau tempat-tempat yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa dan alamat untuk surat menyurat ialah Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) Batu Rakit 21020 ,Kuala Terengganu,Terengganu.

2) Tempat urusan berdaftar dan alamat surat menyurat Persatuan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

Fasal 3

TUJUAN / MATLAMAT

Tujuan Persatuan ialah:

1) Memupuk perasaan persaudaraan dan muhibbah sesama bekas pelajar INSTEP

2) Merapatkan lagi perhubungan antara bekas pelajar dengan pihak INSTEP dan dengan para pensyarah.

3) Mengadakan kegiatan-kegiatan masyarakat, ekonomi, kebudayaan, pelajaran dan rekreasi.

4) Memberi pertolongan kepada bekas-bekas pelajar INSTEP yang memerlukan.

Fasal 4

KEAHLIAN

1) Ahli-ahli persatuan ialah bekas pelajar Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP)(dahulunya dikenali sebagai Institut Latihan Perindustrian Petroleum Petronas (ILPP) .

2) Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah dihantar kepada Setiausaha yang dikehendaki mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa untuk diluluskan. Semua bekas pelajar INSTEP layak untuk menjadi ahli Persatuan. Namun begitu, Jawatankuasa boleh mengikut budi bicaranya menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya.

3) Tiap-tiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan seperti yang tersebut di atas, hendaklah setelah membayar bayaran masuk dan yuran tahun pertama seperti yang telah ditetapkan, diterima menjadi ahli Persatuan dan berhaklah ia sebagai ahli.

Fasal 5

BAYARAN MASUK, YURAN DAN BAYARAN LAIN

1) Bayaran masuk dan yuran yang perlu dijelaskan adalah seperti berikut:

Bayaran masuk RM 10 (Ringgit Malaysia Sepuluh Sahaja).

Yuran Tahunan RM 20 (Ringgit Malaysia Dua Puluh Sahaja).

2) Yuran tahunan hendaklah dijelaskan kepada Bendahari terlebih dahulu dalam tempoh 90 hari dari awal tiap-tiap tahun.

3) Ahli yang membiarkan tunggakan yurannya lebih daripada tiga bulan akan menerima surat peringatan yang ditandatangani oleh atau wakil Setiausaha, dan hilanglah hak-hak keistimewaannya sebagai ahli sehingga tunggakan yurannya telah dijelaskan.

4) Ahli yang membiarkan tunggakan yurannya sebanyak lebih dari jumlah yuran bagi 2 tahun dengan sendirinya terhenti daripada menjadi ahli Persatuan dan Jawatankuasa boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya dengan syarat mereka berpuashati yang ahli itu telah menerima kenyataan berkenaan tunggakan yurannya terlebih dahulu.

5) Jawatankuasa mempunyai kuasa menetapkan yuran masuk semula bagi sesiapa yang telah membiarkan keahliannya terlucut disebabkan tunggakan yurannya.

6) Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut dengan persetujuan mesyuarat agung ahli-ahli. Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar wang yuran tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti tunggakan yurannya tahunan.

Fasal 6

PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

1) Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli Persatuan hendaklah memberi kenyataan bertulis dua minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha dan menjelaskan segala tunggakan yurannya.

2) Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang Persatuan atau bertindak dengan cara yang akan mencemarkan nama baik Persatuan boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa. Sebelum Jawatankuasa memecat atau menggantung ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan mesyuarat agung menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.

Fasal 7

MESYUARAT AGUNG

1) Pengelolaan Persatuan ini terserah kepada mesyuarat agung ahli-ahli. Sekurang-kurangnya 100 orang ahli yang berhak mengundi atau dua kali ganda jumlah ahli Jawatankuasa, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam mesyuarat agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi korum untuk mesyuarat. Undian proksi adalah dibenarkan.

2) Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 30 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa; dan jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda undang-undang Persatuan dan membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.

3) Mesyuarat Agung Tahunan bagi Persatuan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada 31hb Oktober pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Kerja-kerja mesyuarat agung tahunan ialah:

a) menerima laporan Jawatankuasa berkenaan perjalanan Persatuan sepanjang tahun lalu;

b) menerima laporan Bendahari dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun yang lalu;

c) memilih ahli-ahli Jawatankuasa dan pemeriksa kira-kira untuk tahun akan datang; dan

d) menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.

4) Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya 30 hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan diadakan satu agenda mesyuarat termasuk salinan peringatan mesyuarat dan laporan serta penyata kira-kira Persatuan bagi tahun lalu yang telah diaudit. Salinan surat-surat ini juga hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan Persatuan.

5) Mesyuarat Agung Khas bagi Persatuan ini boleh diadakan:

a) bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa, atau

b) atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang satu perlima (1/5) dari jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha Persatuan.

6) Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.

7) Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha kepada semua ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat.

8) Fasal 7(1) dan 7(2) di dalam perlembagaan ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas, tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli itu maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa 6 bulan dari tarikh ini, Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.

9) Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli satu salinan deraf peringatan tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Khas dengan seberapa segera yang boleh setelah selesainya mesyuarat itu.

Fasal 8

JAWATANKUASA

1) Satu Jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan Pegawai Persatuan hendaklah dipilih di dalam Mesyuarat Agung Tahunan:

Seorang Presiden

Seorang Timbalan Presiden

Seorang Setiausaha

Seorang Naib Setiausaha

Seorang Bendahari

Seorang Naib Bendahari

4 orang Ahli Jawatankuasa Biasa

2) Pemegang-pemegang jawatan Persatuan ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif dalam Persatuan ini hendaklah terdiri daripada Warganegara Malaysia.

3) Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung Tahunan. Semua pegawai boleh dilantik semula tiap-tiap tahun.

4) Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Persatuan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Persatuan mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh mesyuarat agung. Jawatankuasa seharusnya tidaklah boleh mengambil keputusan yang bertentangan dengan keputusan mesyuarat agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi keputusan mesyuarat agung. Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan dengan kegiatannya dalam tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan.

5) Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam 3 bulan. Pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli 7 hari terlebih dahulu. Presiden dengan bersendirian atau tidak kurang daripada 4 orang ahli Jawatankuasa bersama-sama bolehlah memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada bilangan ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.

6) Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka Setiausaha bolehlah mendapatkan kelulusan daripada ahli-ahli Jawatankuasa secara pengedaran surat pekeliling. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut hendaklah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima:

a) masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap ahli Jawatankuasa;

b) sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu;

c) keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak.

Sebarang keputusan yang didapati melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada mesyuarat Jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam peringatan mesyuarat.

7) Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri mesyuarat Jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa.

8) Jika seorang ahli Jawatankuasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon yang kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah Jawatankuasa melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.

9) Jawatankuasa boleh memberi arahan kepada Setiausaha dan pegawai-pegawai lain untuk menjalankan urusan Persatuan, dan melantik pengurus dan kakitangan yang difikirkannya mustahak. Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, engkar menjalankan keputusan Jawatankuasa, atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Persatuan.

10) Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa kecil jika difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas kepada sebarang ahli Jawatankuasa.

Fasal 9

KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI

1) Presiden, dalam tempoh menyandang jawatannya, hendaklah menjadi Pengerusi semua mesyuarat agung dan semua mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan smua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani peringatan mesyuarat bila telah diluluskan. Ia hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Setiausaha atau Bendahari.

2) Seorang Presiden hendaklah memangku jawatan Presiden semasa ketiadaannya.

3) Setiausaha hendaklah menjalankan kerja pentadbiran Persatuan mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah mesyuarat agung dan Jawatankuasa. Ia bertanggungjawab mengendalikan urusan surat menyurat dan menyimpan semua buku, surat dan kertas kecuali akaun dan buku-buku kewangan. Setiausaha juga hendaklah menyimpan buku daftar ahli. Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan membuat catatan mesyuarat. Setiausaha hendaklah dalam masa 60 hari dari tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan mengirimkan penyata tahunan Persatuan kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14 (1) Akta Pertubuhan, 1966.

4) Naib Setiausaha hendaklah menolong Setiausaha menjalankan kerja-kerjanya dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Setiausaha.

5) Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Persatuan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas ketepatannya.

6) Naib Bendahari hendaklah menolong Bendahari menjalankan kerja-kerjanya dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Bendahari.

7) Ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah membantu Jawatankuasa dalam menjalankan tugas yang diarahkan olehnya.

Fasal 10

KEWANGAN

1) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut dalam perlembagaan ini wang Persatuan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Persatuan, termasuklah belanja pentadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji serta upah memeriksa kira-kira. Walau bagaimanapun, wang itu tidaklah boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

2) Bendahari dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM 200 (Ringgit Malaysia Dua Ratus Sahaja) pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa. Kira-kira bank itu hendaklah di atas nama Persatuan.

3) Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari kira-kira Persatuan hendaklah ditandatangani bersama oleh dua daripada tiga ahli Jawatankuasa yang berikut: Presiden , Setiausaha atau Bendahari. Semasa ketiadaan Presiden, Setiausaha atau Bendahari maka bolehlah Jawatankuasa melantik sesiapa di antara mereka sebagai pengganti untuk menandatangani cek atau kenyataan pengeluaran wang Persatuan.

4) Perbelanjaan yang lebih daripada RM 2,000 (Ringgit Malaysia Dua Ribu Sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa, dan perbelanjaan yang lebih daripada RM 100,000 ( Ringgit Malaysia Satu Ratus Ribu Sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran mesyuarat agung terlebih dahulu. Perbelanjaan yang kurang daripada RM 2,000 ( Ringgit Malaysia Dua Ribu Sahaja) bagi sesuatu masa boleh diluluskan oleh Presiden bersama Setiausaha dan Bendahari.

5) Penyata darihal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Pemeriksa Kira-Kira yang dilantik di bawah Fasal 11 perlembagaan ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan yang berikut dan salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di tempat urusan Persatuan.

6) Tahun kewangan Persatuan ini bermula dari 1hb Jun dan berakhir pada 31hb Mei tiap-tiap tahun.

Fasal 11

PEMERIKSA KIRA-KIRA

1) Dua orang yang bukannya Pegawai Persatuan boleh dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Pemeriksa Kira-kira. Mereka akan memegang jawatan selama satu tahun dan boleh dilantik semula.

2) Pemeriksa Kira-kira adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Persatuan bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung Tahunan. Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Presiden mengaudit kira-kira Persatuan bagi mana-mana masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.

Fasal 12

PERLANTIKAN PEGAWAI-PEGAWAI DIBAWAH SEKSYEN 9 (b) AKTA PERTUBUHAN. 1966

1) Tiga Pegawai terdiri daripada pemegang-pemegang jawatan dan berusia lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik didalam Mesyuarat Agung Tahunan bagi maksud Seksyen 9 (b) Akta Pertubuhan.

2) Mereka hendaklah memegang jawatan mereka sehingga tempoh bagi mereka memegang jawatan selama tahun berakhir di Mesyuarat Agung Tahunan akan datang dan mereka layak dipilih semula.

3) Pegawai-Pegawai yang dilantik di bawah undang-undang ini hendaklah mengurus harta tetap Persatuan sebagaimana yang dikehendaki oleh mesyuarat agung tetapi semua harta tetap Persatuan hendaklah didaftar atas nama persatuan.

4) Mereka tidak boleh menjual, menarik balik atau memindahkan hakmilik harta kepunyaan Persatuan dengan tidak mendapat kelulusan dan kuasa yang diberikan oleh mesyuarat agung Persatuan.

5) Seseorang Pegawai itu boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh mesyuarat agung oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau kerana sebab lain yang mengakibatkan ia tidak dapat menjalankan tugasnya atau pekerjaannya dengan memuaskan. Jika berlaku kematian, perletakan jawatan atau pembuangan bagi seseorang Pegawai maka kekosongan itu bolehlah dipenuhkan oleh Pegawai yang baru dilantik di dalam mesyuarat agung.

Fasal 13

TAFSIRAN UNDANG-UNDANG

1) Di antara berlangsungnya mesyuarat agung, Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada perlembagaan ini dan Jawatankuasa, jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang ini.

2) Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam mesyuarat agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan mesyuarat agung.

Fasal 14

PENAUNG

Pengarah INSTEP secara automatik adalah Penaung bagi Persatuan ini.

Fasal 15

LARANGAN

1) Semua jenis perjudian atau permainan yang semata-mata bergantung kepada nasib adalah dilarang dilakukan oleh Persatuan;

2) Persatuan atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan cara apa juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti definasi di dalam Akta Kesatuan Sekerja, 1959;

3) Persatuan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama Persatuan atau pegawai-pegawai atau Jawatankuasa atau ahli, tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan;

4) ‘Faedah’ seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966, tidaklah boleh diberikan oleh Persatuan kepada mana-mana ahlinya.

5) Mana-mana orang yang tidak boleh memegang jawatan dalam pertubuhan, menjadi penasihat atau pekerja pertubuhan jika ia telah hilang kelayakan menurut seksyen 9 Akta Pertubuhan, 1966.

Fasal 16

PINDAAN UNDANG-UNDANG

Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan mesyuarat agung. Permohonan untuk perubahan atau pindaan kepada undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 60 hari dari tarikh keputusan mesyuarat agung meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh perubahan atau pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.

Fasal 17

PEMBUBARAN

1) Persatuan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang menghadiri dalam suatu mesyuarat agung yang dipanggil khas kerananya.

2) Sekiranya Persatuan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Persatuan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam mesyuarat agung berkenaan.

3) Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran itu.

Fasal 18

PENTADBIRAN PREMIS

1) Mempamerkan Sijil Pendaftaran Pertubuhan yang asal didalam premis ditempat yang mudah dilihat.

2) Membuat papan tandanama serta mempamerkannya dibahagian hadapan luar premis dengan nombor pendaftaran dicatatkan bersekali.

3) Mempamerkan kenyataan ( ditempat yang bersesuaian) bahawa segala peralatan/kemudahan pertubuhab adalah untuk kegunaan ahli ahli sahaja.

4) Hanya dibenarkan menjalankan kegiatan/aktiviti sehingga jam 12.00 tengah malam sahaja.

5) Menentukan keadaan premis sentiasa bersih, tersusun dengan memuaskan.

……………………………………….…….. …...………………….……………………..

Presiden Setiausaha